Thursday, February 11, 2010

Sejarah Khalifah Abu Bakar As-Siddiq

Abu Bakar as-Siddiq (bahasa Arab: أبو بكر الصديق‎ Abū Bakr al-Siddīq) ialah khalifah pertama orang Muslim dari tahun 632-634. Beliau pada awalnya digelar Abdul Kaabah (hamba Kaabah) tetapi selepas pengislamannya, beliau menukar namanya kepada Abdullah. Namun beliau selalu digelar Abu Bakar (daripada perkataan Arab Bakar yang bermaksud unta muda) kerana beliau amat gemar membiak unta. Beliau amat terkenal dengan gelaran As-Siddiq (yang membenarkan). Nama sebenar beliau ialah Abdullah ibni Abi Qahafah.
Kehidupan awal
Saidina Abu Bakar As-Siddiq merupakan sahabat Nabi Muhammad s.a.w. yang paling rapat sekali. Semasa Nabi Muhammad s.a.w. berhijrah dari Makkah ke Madinah pada tahun 622, hanya beliau seorang yang mengikuti Rasulullah s.a.w. tanpa ditemani oleh orang lain. Rasulullah S.A.W mengahwini anak perempuan beliau iaitu Saidatina Aishah tidak lama selepas penghijrahan ke Madinah berlaku. Pernah menjadi kaya, dia juga dikenangi kerana jasanya membebaskan beberapa hamba yang beragama Islam daripada tuan mereka yang kafir termasuklah Bilal Bin Rabah. Beliau juga merupakan salah seorang Muslim yang pertama sekali memeluk Islam. Beliau seorang yang jujur, berbudi pekerti, adil, tegas dan memiliki sifat yang terpuji. Dilahirkan 2 tahun selepas kelahiran Rasulullah S.A.W.
Menjadi khalifah pertama
Semasa Rasulullah s.a.w. sedang sakit tenat, baginda mengarahkan supaya Saidina Abu Bakar mengimamkan solat orang Islam. Selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w., sebuah majlis yang dihadiri oleh golongan Ansar dan Muhajirin ditubuhkan untuk melantik seorang khalifah bagi memimpin umat Islam. Hasil daripada perjumpaan itu, Saidina Abu Bakar dilantik dan menjadi khalifah pertama umat Islam.
Perlantikan Saidina Abu Bakar mendapat tentangan daripada beberapa orang yang ingin melantik Saidina Ali Abi Talib sebagai khalifah kerana Saidina Ali merupakan menantu dan anak saudara Rasulullah s.a.w. Golongan Syiah yang merupakan golongan daripada keluarga Bani Hashim menentang perlantikan Saidina Abu Bakar. Tentangan itu tamat selepas Saidina Ali Abi Talib membaihkan Saidina Abu Bakar. Ada pendapat mengatakan bahawa Saidina Ali Abi Talib hanya membaihkan Saidina Abu Bakar selepas enam bulan.
Peperangan Islam-Riddah
Masalah mula timbul apabila Saidina Abu Bakar dilantik menjadi khalifah. Masalah ini mengugat kestabilan dan keamanan kerajaan Islam. Banyak puak-puak Arab memberontak dan menentang khalifah. Sesetengah daripada mereka enggan membayar zakat manakala ada pula yang kembali kepada menyembah berhala dan mengikut tradisi lama mereka. Puak-puak ini mendakwa bahawa mereka hanya menurut perintah Rasulullah s.a.w. dan memandangkan Rasulullah s.a.w. telah wafat maka mereka tidak perlu lagi mengikut ajaran Islam dan mereka telah bebas.
Saidina Abu Bakar menegaskan bahawa mereka bukan sahaja menyatakan taat sembah kepada seorang pemimpin malah mereka kini tergolong dalam golongan Muslim. Ada diantara mereka mendakwa bahawa mereka ialah nabi dan rasul. Bagi menumpaskan penghinaan dan perbuatan murtad ini maka Saidina Abu Bakar melancarkan perang terhadap golongan yang digelar golongan Riddah. Hal ini merupakan permulaan siri Peperangan Islam-Riddah. Antara orang yang mengaku menjadi nabi ialah Musailamah al-Kazzab. Khalid Al-Walid berjaya menumpaskan Musailimah dalam suatu pertempuran.
Ekspedisi ke Utara
Selepas berjaya mengurangkan golongan riddah, Syaidina Abu Bakar mula menghantar panglima-panglima perang Islam ke utara untuk memerangi Byzantine (Rom Timur) dan Empayar Parsi. Khalid Al-Walid berjaya menawan Iraq dalam hanya satu kempen ketenteraan. Beliau juga menempuh kejayaan dalam beberapa ekspedisi ke Syria. Menurut seorang orientalis Barat, kempen Saidina Abu Bakar hanyalah sebuah lanjutan daripada Perang Riddah. Hal ini jelas salah memandangkan kebanyakan golongan riddah terletak di selatan Semenanjung Arab dan bukannya di utara.
Pengumpulan al-Quran
Menurut ahli sejarah Islam, selepas siri Peperangan Islam-Riddah ramai orang yang mahir menghafaz al-Quran terbunuh. Saidina Umar Al-Khatab (khalifah yang berikutnya) meminta Saidina Abu Bakar untuk mula menjalankan aktviti pengumpulan semula ayat-ayat al-Quran. Saidina Uthman Affan kemudiannya melengkapkan aktiviti pengumpulan al-Quran semasa beliau menjadi khalifah.
Kewafatan Saidina Abu Bakar
Saidina Abu Bakar wafat pada 23 Ogos 634 di Madinah iaitu dua tahun selepas menjadi khalifah. Ada dua pendapat mengenai sebab kematian Saidina Abu Bakar. Ada yang mengatakan disebabkan keracunan dan ada pula yang mengatakan Saidina Abu Bakar meninggal dunia secara biasa. Sebelum kewafatannya, Saidina Abu Bakar mengesa masyarakat menerima Saidina Umar Al-Khatab sebagai khalifah yang baru.
Saidina Abu Bakar dikebumikan di sebelah makam Nabi Muhammad s.a.w. di Masjid an-Nabawi yang terletak di Madinah.
Sumbangan Saidina Abu Bakar
Saidina Abu Bakar walaupun hanya memerintah selama dua tahun (632-634), tetapi beliau banyak menyumbang terhadap perkembangan Islam. Beliau berjaya menumpaskan golongan Riddah yang ada diantaranya murtad dan ada diantaranya mengaku sebagai nabi. Beliau juga mula mengumpulkan ayat-ayat al-Quran dan beliau juga berjaya meluaskan pengaruh Islam

Wednesday, February 10, 2010


Assalamualaikum...
Siapa yang tidak mengenal parti PAS.. dan siapa pula yang tidak mengenal parti UMNO... matlamat perjuangan kedua dua parti yang paling terbesar di Malaysia ini hampir serupa, tetapi kenapa mereka tidak mahu bergabung demi perpaduan orang ISLAM dan bangsa MELAYU...
Apa yang saya dapat menilai disini ialah, kedua dua parti ini terdiri daripada orang ISLAM berbangsa MELAYU, namun masing masing mempunyai agenda tersendiri, pemikiran dan pentadbiran yang tidak serupa dan pemahaman tentang agama tidak dapat bersama dalam sesuatu isu.
Wahai orang orang ISLAM berbangsa MELAYU dan berwarganegara MALAYSIA, cuba kita renungkan tentang sejarah negara kita. Malaysia pernah dijajah oleh orang British, Jepun dan Siam (kedah, perlis & kelantan). Kenapa dan mengapa mereka boleh menjajah negara kita pada waktu dahulu?. Adakah orang Melayu ketika itu tidak berpelajaran? atau tidak mempunyai semangat setia kawan? cuba kita renung seketika, nenek moyang kita sebenarnya merekalah yang benar benar menghayati semangat cintakan bangsa. Mereka berkerja kuat demi menjaga maruah keluarga, pada masa yang sama, mereka jugalah yang sanggup berkorban apa sahaja, walaupun nyawa demi mempertahankan negara. Begitu bijak mereka menguruskan masa. Ramai diantara mereka tidak berpelajaran tinggi, tetapi mereka tetap bijak mengatur langkah kehidupan sehingga kesannya dapat kita nikmati sekarang.
Oleh yang demikian, siapakah yang lebih bijak, mereka ataupun kita ? mereka tidak mempunyai sijil (diploma@ijazah) namun mereka masih dapat merealisasikan hasrat negara dengan bersatu mempertahankan negara. Mereka tidak mempunyai sijil tetapi mereka masih dapat mengawal tanah tanah milik mereka sehingga ke saat ini, mereka tidak mengenal erti letih mahupun pentingkan diri, tetapi apa yang mereka utamakan ialah, Cintakan agama, bangsa dan negara.
Berbanding dengan manusia zaman sekarang, ramai dikalangan kita yang mempunyai sijil akedemik. (sekurang-kurangnya DIPLOMA) tetapi adakah kita sedar bahawa, pernah kah kita luangkan masa bersama kawan kawan berbincang tentang soal penyatuan orang orang melayu? Pernahkah kita membantu orang orang melayu yang dalam kesusuahan? pernah kah kita terpanggil untuk meningkatkan tahap ekonomi orang melayu secara menyeluruh? pernah kah kita menghormati pemimpin pemimpin negara secara ikhlas atau hanya sekadar "lepas batuk di tangga"
Wahai saudaraku, renungkan lah seketika, hari demi hari, dunia semakin berusia, umur kita semakin tua, panggilan kubur hampir tiba, malaikat maut mengikut kita, dan ingatlah adakah kita sudah bersedia untuk menjawab soalan soalan mungkar dan nangkir ?
Jawapannya hanya kita sahaja yang tahu.....

PERSATUAN ANAK ANAK MELAYU PADANG SERAI

Assalamualaikum,

Bersyukur kita kehadrat ALLAH S.w.t kerana dengan limpah rahmat darinya dapat kita (PERSATUANN ANAK ANAK MELAYU PADANG SERAI) berkumpul dan merapatkan saf anak anak melayu disekitar kawasan Padang Serai tanpa mengira perbezaan idelisma politik mahupun taraf hidup.

Matlamat asal penubuhan persatuan ini, hanyalah untuk menyatupadukan seluruh umat ISLAM khususnya di Kawasan Padang Serai dan amnya di seluruh Malaysia dan dunia. Ini kerana, semakin pantasnya dunia bergerak, semakin teruk dan lemah hubungan persaudaraan orang orang melayu (ISLAM) di Malaysia akibat dari perbezaan politik, yang hanya akan merugikan orang Melayu itu sendiri.

Pada masa yang sama, pegangan utama umat ISLAM iaitu, AL-QURAN dan AS-SUNNAH wajib dipatuhi dan dihormati demi memperagungkan agama ISLAM itu sendiri.

Kalimah ALLAH & kekasihnya Nabi Muhammad S.A.W akan sentiasa terpahat di hati setiap ahli PERSATUAN ANAK ANAK MELAYU PADANG SERAI kerana ia merupakan panji panji yang akan mewarnai akidah, akhlak, iman dan displin umat ISLAM.

Menghormati kepimpinan negara, adalah antara asas perjuangan persatuan ini.

Akhir sekali, saya mewakili PERSATUAN ANAK ANAK MELAYU PADANG SERAI, mengucapkan ribuan terima kasih kepada sesiapa sahaja yang melayari blog ini dan memberi komen tentang tajuk tajuk yang akan dihuraikan kelak.